R PUVANESWARAN mencipta sejarah tersendiri apabila memenangi pingat emas karate kumite lelaki 55 kilogram tatkala Ku Jin Keat memecah monopoli Jepun dalam Sukan Asia dengan emas acara kata lelaki di Gimnasium Guangdong, semalam.
Atlit kata wanita, Lim Lee Lee memenangi gangsa kata untuk memberi kontinjen negara dua emas dan sebutir gangsa dari gelanggang karate pada hari pertama sukan itu membuka tirai.
Emas Puvaneswaran, memberi atlit 35 tahun itu emas kedua dalam penyertaannya di Sukan Asia, selepas gangsa di Hiroshima ‘94, emas di Busan 2002 dan perak di Doha 2006 manakala Bangkok 98 menyaksikan dia dibatalkan kemenangannya.
Puvaneswaran yang menewaskan peserta Vietnam, Nguyen Hoang Hiep di pusingan pertama dan Hsieh Cheng Kang (Taiwan) di separuh akhir, diheret ke tiebreak sebelum diberikan kemenangan 3-2 dalam final ketika menentang Emad Mohamad Almakli.
“Memang berbaloi. Saya menggunakan sepenuhnya pengalaman kerana sedar lawan cukup pantas. Emas ini ibarat satu penamat cerita panjang yang indah,” kata Puvaneswaran yang kini berhasrat menjadi jurulatih.
Kejayaan Jin Keat, 35, pula memecahkan monopoli atlit Jepun yang menguasai semua acara itu sejak karate dipertandingkan di Hiroshima 1994, dan lebih manis, emas itu turut melengkapkan koleksi pingat pelbagai warna atlit kelahiran Air Itam, Pulau Pinang itu.
Dia menewaskan Itaru Oki dari Jepun 3-2 dalam perlawanan akhir, selepas menewaskan lawan dari Taiwan, Chris Cheng (5-0), Dmitri Kazanov dari Kazakhstan (5-0) di suku akhir dan Faizal Zainuddin dari Indonesia (4-1) di separuh akhir.
“Rasa puas kerana saya tahu saingan memang sukar tetapi akhirnya menang emas. Kini lengkap koleksi pingat Sukan Asia saya,” katanya selepas menewaskan Oti, pemenang gangsa di Kejohanan Dunia di Serbia bulan lalu.
Lim Lee Lee, 35, yang meraih pingat keempat selepas gangsa di Bangkok 1998, perak di Busan 2002 dan gangsa di Doha 2006 berkata: “Selepas melihat undian, saya tahu sukar kerana terpaksa berdepan lawan dari Jepun. Tetapi saya sudah berjanji memberi pingat untuk negara dan gembira hajat tercapai.”

0 comments:
Post a Comment