PADA awal pembabitannya dalam industri drama Tamil, Raja Ilya dapat berasakan dia berdepan cabaran yang bukan kecil. Dirinya bukan sekadar pelakon yang pada dasarnya berbangsa Melayu, malah penguasaannya terhadap bahasa Tamil itu sendiri membuatkan wanita cantik ini dikritik.
Namun, sudah menjadi sifat semula jadi Ilya untuk bingkas bangkit sebaik saja cabaran diterima, terutama dalam soal kerja. Menyedari kejanggalan yang dirasakan rakan seperjuangan dalam industri seni Tamil negara ini, dia cuba memperbaiki situasi terbabit dengan mendalami bahasa berkenaan, demi membolehkan dirinya diterima lebih baik lagi di kalangan penggiat seni India.
Pada mulanya, tentulah agak janggal untuk mereka melihat seorang pelakon Melayu melakonkan watak gadis India. Kejanggalan itu sendiri dapat saya rasakan sama. Namun, syukurlah selepas beberapa ketika, mereka mula menerima saya seadanya.
"Saya sendiri mula mengikuti kelas bahasa Tamil, sebaik saja selesai menjalani penggambaran filem Appalam arahan Afdlin Shauki. Selama sebulan lebih saya menajamkan penguasaan saya terhadap bahasa berkenaan. Saya beruntung kerana selain menghadiri kelas, saya mempunyai rakan India yang sudi menghulurkan bantuan dalam proses berkenaan," katanya.
Appalam ialah filem bahasa Tamil keluaran Tayangan Unggul yang dihasilkan berdasarkan filem Melayu popular arahan pengarah sama, Papadom (2009). Selain Ilya, turut menjayakan filem terbabit ialah Jaclyn Victor, Gana, Sharifah Amani dan Afdlin sendiri. Ia menemui penonton seluruh negara mulai hari ini.
Filem terbabit dikatakan filem bahasa Tamil pertama dihasilkan dalam bentuk 35 mm selepas 24 tahun, menggunakan belanja sekitar RM1.5 juta. Menurut bekas pramugari Penerbangan Malaysia ini, dia dapat berasakan adanya peningkatan dalam penguasaan bahasa Tamilnya selepas mengikuti kelas terbabit.
0 comments:
Post a Comment