Oleh SYAHRIR MAT ALI dan FATIN HASNAN
Pengguna Internet yang menggunakan aplikasi rangkaian sosial dinasihatkan supaya tidak sesekali mendedahkan maklumat peribadi seperti nama penuh, alamat rumah, nombor kad kerdit, pekerjaan, identiti majikan, maklumat kewangan dan sebagainya.
PENGGUNAAN Internet di kalangan masyarakat dunia semakin meningkat dengan pesat dan mula mengubah cara hidup mereka.
Menurut penyelidikan yang dibuat oleh IDC Research, pengguna Internet di Malaysia telah menjangkau 16 juta orang dan angka tersebut dijangka akan melonjak kepada 20.4 juta orang pada 2012.
Kepenggunaan aplikasi rangkaian sosial di Malaysia pula telah mencatat sebanyak 66 peratus pada bulan Disember 2008 iaitu di tangga ketiga selepas Singapura dan Korea Selatan dengan masing-masing mencatat 74.3 peratus dan 68 peratus.
Penggunaan aplikasi rangkaian sosial telah mula menular sehingga telah menjadi bagaikan satu budaya dan santapan harian bagi sebahagian besar pengguna Internet di seluruh dunia.
Laman web aplikasi rangkaian sosial semakin bercambah sehingga mula mendominasi carta dari segi jumlah pelawat yang melayari alam siber dan dunia komunikasi maya.
Sehingga kini, terdapat sejumlah 170 rangkaian sosial interaktif yang terkenal dan aktif digunakan di seluruh dunia seperti Facebook, Twitter, Friendster, MySpace, Tagged dan sebagainya.
Facebook yang mendakwa memiliki sejumlah 350 juta pengguna dari segenap pelosok dunia, kini menyimpan lebih daripada 10 bilion gambar yang dikongsi oleh pengguna-pengguna laman rangkaian sosial tersebut.
Impak pada masyarakat
Berdasarkan statistik dari sumber Alexa dan Google Ad Planner, laman rangkaian sosial Facebooktelah dikunjungi oleh kira-kira 6.2 juta pengguna Internet di Malaysia dan kira-kira 4.2 juta pula mengunjungi laman Friendster.
Rangkaian sosial interaktif MySpace pula dikunjungi oleh 2.1 juta pengguna Internet di Malaysia manakala Twitter menerima kira-kira 750,000 pengunjung.
Walaupun fenomena rangkaian sosial global yang popular seperti Facebook telah mula menembusi pasaran dunia, terdapat juga beberapa aplikasi rangkaian sosial tempatan yang menawarkan kandungan dan perkhidmatan tempatan yang aktif digunakan seperti eKawan, Ruumz, GoEatOut, Circles99, FriendX, eMeiMei serta Pacmee.
Kebanyakan perkhidmatan rangkaian sosial menyediakan ruang bagi penggunanya untuk meletakkan maklumat peribadi seperti nama penuh, alamat rumah, nombor telefon dan maklumat penting yang lain.
0 comments:
Post a Comment